Friday, April 15, 2011

Peranan wanita dalam pembangunan ekonomi

Peranan wanita sebagai isteri, ibu ataupun kakak memainkan peranan penting dalam institusi keluarga. Pekerjaan merupakan titik permulaan bagi menentukan status dan taraf kehidupan seseorang tanpa memilih jantina. Wanita dan kerjaya adalah penting dalam membantu meringankan beban kewangan keluarga. Keperluan keluarga yang begitu besar dan mendesak wanita sebagai isteri membantu suami dengan bekerja untuk memenuhi keperluan harian. Namun begitu, wanita dianggap sebagai mempunyai peranan penting dalam pembangunan sesebuah ekonomi. Faktor-faktor seperti menyara keluarga, kerajinan dan hak telah membawa wanita menyumbang kearah pembangunan ekonomi.
          Berdasarkan kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, dianggarkan pada tahun 2005, 48 peratus tenaga kerja wanita menyumbang 50 peratus daripada pendapatan keluarga. Kajian itu menyatakan 65 peratus wanita bekerjaya adalah wanita yang menguruskan rumah tangga. Manakala kajian lain, dilaporkan dalam Journal of Epidemiology and Community Health mendapati wanita bekerja dan pada masa yang sama berperanan sebagai isteri dan ibu mempunyai tahap kesihatan yang baik berbanding suri rumah yang tidak bekerja ataupun wanita yang belum mempunyai anak.
 Disamping itu juga, catatan pengembaraan Abdullah Munsyi yang menyifatkan bidang perniagaan sinonim dengan wanita seperti di negeri Kelantan terbukti apabila Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu dimonopoli golongan wanita. Pasar yang pada awalnya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu itu, kemudian ditukar namanya kepada Pasar Besar Siti Khadijah oleh kerajaan Kelantan sebagai penghormatan kepada lebih 300 peniaga yang hampir kesemuanya adalah golongan wanita. Hal ini  menunjukkan keupayaan golongan wanita yang mejadi model kepada pembangunan ekonomi sesebuah Negara.
Chritine Helliwell (1993) menyatakan bahawa wanita mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan lapangan “ domestic”  iaitu tugas penjagaan anak-anak, mengurus dan menjaga kebajikan ahli isi rumah dan rumahtangga. Sebaliknya, golongan lelaki lebih telibat dengan persekitaran sosial dan awam yang lebih luas. Perbezaan yang jelas adalah lelaki dibayar wang apabila melakukan pekerjaan dalam konteks public manakala wanita tidak dibayar wang apabila bekerja dalam aktiviti domestik. Walaupun hal ini terjadi, wanita tetap berusaha membantu golongan lelaki dalam konteks sesebuah keluarga dengan pelbagai usaha seperti berniaga secara kecil-kecilan di halaman rumah, mengambil upah mejahit, mengambil upah mejaga anak-anak jiran yang bekerja dan ada juga membuat kraftangan untuk menjana pendatapan keluarga.
          Peranan reproduktif sering ditafsirkan sebagai bukan satu bentuk pekerjaan. Hal ini disebabkan kerja wanita dalam rumahtangga tidak dibayar upah dan kerja berupah dilihat sebagai produktif. Tugas seperti menjaga anak, layanan kepada isi rumah, menjahit atau mencuci pinggan mangkuk tidak anggap sebagai suatu pekerjaan mengikut pendefinisian kerja.             
Mengikut Ratna Sapri dan Brigitte Holzer (1997) telah membezakan tiga jenis kerja reproduksi yang dilakukan oleh wanita iaitu reproduksi biologis, reproduksi tenaga kerja, dan reproduksi sosial. Reproduksi biologis ialah melahirkan anak manakala reproduksi tenaga kerja ialah sosialisasi dan pengasuhan anak untuk mempersiapkan mereka menjadi tenaga kerja. Reproduksi sosial pula merupakan kerja yang meneruskan hubungan produksi dan struktur sosial dalam keluarga. Kegiatan seperti memasak, membasuh, membersih, membesarkan anak dan sebagainya adalah ditanggung secara percuma oleh wanita. Kajian yang dijalankan keatas komuniti setinggan turut membuktikan kerja yang dilakukan dalam lingkungan rumahtangga telah menyumbang pendapatan dalam membantu meningkatkan taraf hidup isi rumah setinggan itu sendiri ( Jalihah Md. Shah, 2003).
          Peranan produktif merupakan aktiviti kerja yang mempunyai nilai pertukaran samada secara nyata atau berpotensi. Aktiviti pekerjaan dalam sektor formal dan tidak formal merupakan aktiviti produktif. Dengan lebih jelas, wanita yang membantu menyumbang pendapatan kepada keluarga mereka seperti menjual keropok dan menjahit dengan mendapat upah adalah produktif. Walaupun wanita terlibat dalam aktiviti ekonomi, peranan dan sumbangan mereka dalam menguruskan rumah tangga masih berterusan. Keadaan ini menunjukkan bahawa pembahagian tenaga kerja di dalam isi rumah memperlihatkan golongan wanita mendominasi tugas reproduktif.
Sebagai Contoh kes pembangunan ekonomi wanita di India, Projek pembangunan di bawah The Self-Employed Women’s Association (SEWA) telah memberi peluang kepada penduduk miskin terutamanya golongan wanita melibatkan diri dalam projek yang dijalankan. Projek-projek ini adalah seperti memberi peluang wanita dalam pekerjaan rasmi, mengajar wanita dalam kemahiran teknikal dan menghapuskan upah yang rendah di kalangan wanita. Projek ini telah memberi peluang kepada wanita untuk maju dan bangun setaraf dengan golongan lelaki  iaitu dalam bersama-sama memajukan kawasan setinggan melalui projek pembangunan ini. SEWA’s dibentuk pada 1972 dan merupakan sebuah organisasi dan pergerakkan dalam menperbaiki kemisikinan, pendidikan dan melindungi wanita daripada bahaya melalui sokongan pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan serta keselamatan sosial. Dianggarkan 200,000 orang yang terlibat dengan kemiskinan adalah wanita yang bekerja sendiri dalam sektor tidak rasmi di kawasan pendalaman daerah Gujarat, India. Hal ini telah mengerakkan golongan wanita di Gujarat untuk menyertai SEWA’s melalui pengorganisasian dalam kesatuan dan kerjasama mengikut perbezaan pekerjaan mereka yang terlibat.
Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan bahawa didapati 47 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri daripada golongan wanita. Negara kini menyaksikan peningkatan 10 peratus penceburan wanita dalam kerjaya profesional, pengurusan dan teknikal sejak tahun 1990. Peningkatan ini dapat dilihat dalam sektor keusahawanan yang mencatatkan jumlah 82,911 usahawan terdiri daripada golongan wanita.
Peningkatan yang memberangsangkan ini nyata membuktikan bahawa martabat wanita dalam sosiologi kehidupan telah banyak berubah. Peranan wanita kini tidak lagi hanya tertumpu kepada soal pengurusan keluarga sebaliknya lebih meluas dalam pembangunan negara. Hal ini selaras dengan kesamarataan hak, peluang, dan layanan dari segi gender, etnik, kelas untuk masyarakat madani yang maju.
 Sumbangan dan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi negarasememangnya wujud dan telah diiktiraf. Jumlah wanita yang mewakili separuh daripadapenduduk Malaysia iaitu sebanyak 13.1 juta dan telah mewujudkan hampir 5.0 juta keluargamenjadikan peranan wanita hari ini amat besar. Dahulu, wanita sering dikaitkan dengansuri rumah, tetapi segalanya-galanya telah berubah sesuai dengan 50 tahun kemerdekaan yangdicapai oleh negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), wanita telah memberikan sumbangan yang ketara kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Pencapaian pendidikan yang lebih tinggi mendorong penyertaan wanita dalam tenaga buruh
dan pelbagai aktiviti perniagaan.

1 comment:

  1. Assalam, blh sy jadikan artikel ini sebagai rujukan. Terima kasih.

    ReplyDelete