Friday, April 15, 2011

Pembangunan dan perubahan sosial Kelantan


Perubahan sosial yang berlaku boleh dilihat dengan bukti pembangunan yang berlaku dari dahulu dan sekarang. Di Malaysia, perubahan yang berlaku dari dahulu dan sekarang lebih jelas dilihat dari aspek fizikal dan budaya masyarakat di Malaysia. Perubahan dari aspek fizikal termasuklah pembangunan infrastruktur seperti bangunan, jalan raya, jambatan, kemudahan awam. Dalam membandingkan perubahan sosial yang berlaku dalam kehidupan kita, contoh pembangunan negeri Kelantan boleh diambil untuk menilai perubahan yang berlaku. Kelantan kerap kali di anggap sebagai negeri yang kurang membangun oleh segelintir masyarakat luar yang mempunyai pemikiran cetek tanpa melihat perubahan fizikal dan sosial yang telah berlaku sekarang. Dahulu, Kelantan boleh dikatakan negeri yang miskin mengikut bancian berdasarkan pendapatan penduduk, tetapi sekarang Kelantan telah mengalami perubahan secara perlahan-lahan seiring dengan arus perdana.
Menurut temubual yang dilakukan  pada generasi yang lahir pada tahun 1950 an yang boleh dijadikan rujukan untuk menilai perubahan yang berlaku di negeri Kelantan, mereka menyatakan bahawa perubahan pembangunan di Kelantan banyak dipengaruhi oleh pemimpin yang mentadbir pada masa tersebut. Jika dilihat era sebelum merdeka, Kelantan dan negeri-negeri lain tidak mempunyai perbezaan yang besar dari segi infrastruktur. Mereka juga menyatakan Kelantan pada masa sekarang telah jauh berbeza dari masa dahulu terutamanya pembangunan Bandaraya Kota Bharu yang menjadi pusat Bandar kepada Kelantan.  Menurut mereka, pada sekitar tahun 1960an hingga 1980 an, kemudahan awam seperti bas, jalan raya dan komunikasi sangat terhad sehingga mereka menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Tambahan pula, jalan tanah di gunakan pada masa tersebut sebelum di gantikan jalan berturap pada sekitar lewat 80 an. Bagi penduduk yang tinggal di sebelah Tumpat, mereka terpaksa menggunakan perahu untuk ke Bandar Kota Bharu menyeberangi sungai Kelantan. Namun selepas 80 an, kerajaan telah banyak melakukan perubahan seperti kemudahan jalan raya, mewujudkan hospital, pembinaan jambatan, bangunan kedai di Bandar untuk kemudahan rakyat. Bagi masyarakat Kelantan, perubahan yang berlaku ini telah memberi banyak faedah kepada mereka termasuklah pembukaan pusat perniagaan seperti Pasar Siti Khatijah yang memberi peluang kepada masyarakat kelantan untuk mencari rezeki.
Kelantan terkenal dengan penduduknya yang beragama Islam. Buktinya gelaran Serambi Mekah sinonim dikaitkan oleh kita sejak dari dahulu sehingga sekarang. Kelantan juga sinonim dengan gelaran Negeri Tadahan Wahyu. Dikenali juga dengan panggilan Tanah Serendah Sekebun Bunga atau negeri berbudaya. Penduduknya adalah 95 peratus beragama Islam. Jumlah penduduknya sekarang melebihi 1.5 juta orang. Justeru William R. Roff  (1974) pula mengiktiraf Kelantan sebagai: “The Islamic State of Kelantan, in the north-east corner of mainland Malaysia bordering southern Thailand, has existed as a locus of power in the peninsular for the least a thousand years.”
Di sebalik kenyataan tersebut, ternyata Kelantan merupakan negeri yang unik, terutama dari segi wajah kuasa rakyat dan kehidupan budaya politiknya. Negeri Kelantan sejak sebelum merdeka melalui proses sejarah yang pernah dinaungi kuasa Siam dan selepas itu dinaungi oleh penjajah Inggeris melalui perjanjian Bangkok sehinggalah merdeka. Namun menjelang merdeka berlaku pilihan raya Persekutuan 1955 kuasa politik rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional menang di Kelantan.  Pada pilihan raya pertama 1959 iaitu selepas merdeka berlaku pula perubahan mandat rakyat Kelantan apabila Parti Islam SeMalaysia dipilih mengetuai kuasa politik negeri. Mandat kuasa kepada Parti Islam SeMalaysia berlaku sehinggalah tercetus ‘politik darurat’ 1977 yang menyaksikan mandat kuasa rakyat beralih kembali kepada pemerintahan Barisan Nasional tahun 1978. Pilihan raya umum ke-8 pada 21 Oktober 1990, rakyat mula beralih sokongan kepada Parti Islam Semalaysia dan mendapat mandat mentadbir negeri untuk kali kedua.
Parti Islam SeMalaysia melalui tempoh pentadbiran memimpin rakyat Kelantan yang berjaya mencetuskan sejarah tersendiri di sisi rakyat Kelantan. Kerajaan yang mentadbir negeri Kelantan pada masa sekarang tetap membina harapan rakyat dengan pelbagai usaha pembangunan yang meliputi fizikal, sikap dan rohani rakyat. Justeru dari aspek fizikal, Pada tahun 1959 sebanyak 7,620 keluarga penduduk miskin di anugerahkan tanah untuk membantu mereka membina tempat tinggal yang selesa. Pemberian ini adalah seluas 78,170 ekar diberi kepada  sebagai penempatan baru di Hulu Kelantan.
Hari ini pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN) telah membuahkan hasilnya. Jika dahulu, tanah hutan yang tidak berpenghuni dibiarkan sahaja tetapi melalui LKTN ini, insiatif berjaya dilakukan untuk memajukan tanah yang terbiar. Ramai peneroka di rancangan tanah LTKN telah mengalami perubahan taraf hidup. Terdapat sebanyak 27 rancangan tanah dikendalikan di bawah LKTN di seluruh kelantan. Rancangan tanah ini meliputi memperkasakan pertanian, pembukaan ladang, penternakan dan pembukaan kolam. Projek pembangunan juga boleh di lihat di Mengkebang, Chuchuh Puteri, Sungai Sok dan Sungai Syam di Kuala Krai,  Air Lanas di Jeli, Kemahang 1, Tanah Merah serta Sungai Terah di Gua Musang yang dahulunya dikatakan kawasan miskin yang tidak mempunyai infrastuktur telah berubah menjadi Bandar baru yang dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya, telefon, pasar raya, pejabat pos, bank, klinik, hospital dan pejabat pentadbiran daerah. Dengan kewujudan LKTN ini, kawasan pembangunan yang telibat telah mendapat faedah bersama dengan perolehan hasil dari pembangunan tanah yang dibuat.
Penduduk yang pernah bergelar sebagai peneroka kini sudah jauh berubah. Hutan belantara sudah menjadi perkampungan tersusun. Pokok getah dan kelapa sawit subur telah menjadi punca pendapatan penduduk.  Sebelum kewujudan Lembaga Kemajuan Tanah Negari (LTKN), kawasan berkenaan merupakan hutan belantara. Namun, hasil idea dicetus kerajaan pada masa itu, kawasan hutan sekarang sudah bertukar menjadi kampung dan pekan. Apa yang lebih penting setiap peneroka memiliki geran tanah tanpa perlu membayar hutang kepada agensi kerajaan seperti Felda atau Kesedar. Hal ini juga penduduk tidak perlu risau tentang hutang tanam semula seperti dialami rakan mereka di tanah rancangan milik Kesedar atau Felda.
Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri agak terhad, namun pembangunan tetap berjalan lancar. Kerajaan Negeri Kelantan mampu membina jambatan Sultan Yahya Petra, Stadium Sultan Mohammad Ke- IV dan Rancangan Tali Air Kemubu. Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dimulakan pada 1963 melibatkan perbelanjaan awal sebanyak RM2.86 juta. Selepas siap sepenuhnya pada 1965 jumlah keseluruhan kos meningkat kepada RM6.7 juta. Manakala Stadium Sultan Mohammad Ke IV dibina di kawasan seluas 13 ekar melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta. Rancangan Tali Air Kemubu pula dibina bagi faedah pesawah padi di kawasan seluas 51,000 ekar meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok. Projek itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM45 juta. Begitu juga dengan pembinaan Kota Darulnaim iaitu kompleks yang menggabungkan hotel, rumah, pejabat  dan pasaraya, kompleks Balai Islam di Lundang dan Pasar Siti Khatijah. Pembinaan-pembinaan ini merupakan tanda perubahan yang berlaku oleh Kerajaan negeri di samping sedikit sebanyak sokongan Kerajaan pusat.
Jangkaan perubahan yang akan berlaku ke atas negeri Kelantan pada masa akan datang dilihat akan turut membangunkan pembangunan daerah-daerah Bandar seperti Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang. Pembangunan di daerah-daerah ini di harap mempunyai infrastruktur yang setaraf dengan Bandar Kota bharu seperti mempunyai sistem pengangkutan yang teratur, setiap daerah mempunyai hospital, sekolah di kawasan pendalaman, jalan raya yang lebar, sistem air paip bersih, perkampungan yang tersusun, mempunyai sistem keselamatan seperti balai polis dan bomba dan kemudahan beli belah seperti pasaraya untuk masyarakat. Dengan jangkaan pembangunan ini pada masa akan datang, di harap generasi muda masyarakat Kelantan untuk duduk bersama-sama menyumbangkan kepakaran untuk membangunkan negeri untuk kesejahteraan Negara.

No comments:

Post a Comment