Wednesday, April 20, 2011

Pembangunan top down dan komuniti

Kemiskinan merupakan satu konsep yang luas, terdapat definisi yang mengatakan kemiskinan ini ialah satu keadaan di mana seseorang atau sebuah komuniti itu kekurangan bahan-bahan keperluan hidup. Jika dilihat dalam masyarakat moden, kemiskinan lebih dirasakan sebagai masalah kekurangan wang. Namun begitu, kemiskinan lebih sinonim dengan komuniti yang tinggal di kawasan pendalaman atau kampung. Persoalan yang perlu di huraikan di sini adalah kenapa komuniti yang tinggal di kawasan pendalaman ini sering menjadi mangsa kepada kemiskinan? Hujahan disini adalah komuniti menjadi miskin disebabkan mereka menjadi mangsa kepada degradasi atau kejatuhan nilai persekitaran. Hal ini kerana, pembangunan yang menggunakan konsep top down  yang tidak mementingkan pembangunan akar umbi akan menyebabkan berlaku berlaku kemiskinan terhadap komuniti. Degradasi dapat difinisikan sebagai kemusnahan persekitaran atau kerendahan martabat persekitaran yang disebabkan tindakan-tindakan manusia membuat pembangunan yang tidak berdasarkan perancangan. Degradasi dan konsep top down dapat dikaitkan jika pengertian top down itu dapat difahami, top down  merupakan pembangunan yang dibuat oleh pemerintah, kerajaan atau mereka yang memegang kuasa kepada komuniti iaitu rakyat, penduduk atau mereka yang mendapat arahan. Pembangunan pula dapat diertikan sebagai pembaharuan, pergerakan keatas atau peningkatan yang bertujuan untuk kemudahan dan keselesaan manusia. Konsep pembangunan juga dapat dikaitkan dengan teori modenisasi Rostow dimana Rostow menyatakan pembangunan adalah ditentukan oleh state, state berperanan di dalam pembangunan rakyat terutamnya dalam ekonomi. Terdapat lima tahap pembangunan mengikut rostow iaitu bermula dari masyarakat tradisional, kepada peralihan prasyarat untuk pelancaran, dan kepada tahap pelancaran, seterusnya tahap kematangan dan tahap penggunaan massa yang tinggi ( Jennifer A. Elliott, 2006: 17). Namun begitu, teori yang dibuat oleh Rostow hanya melihat kepada pembangunan satu arah linear  iaitu hanya dari atas ke bawah tanpa melihat kepada pembangunan bottom up. Penegasan yang harus dibuat disini ialah pembangunan top down harus melihat kepada akar umbi iaitu supaya komuniti tidak menjadi mangsa kepada degradasi persekitaraan.

Pembangunan yang berkonsepkan top down akan juga menghasilkan trickle down iaitu melaui proses pengagihan kekayaan daripada state kepada komuniti. Andaian yang dibuat melalui pembangunan ekonomi oleh Rostow (1960) yang bersifat top down telah memberi bantuan kepada orang miskin dan faedah kepada negara-negara sedang membangun melaului proses trickle down. Proses Trickle down juga dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi  orang miskin seperti orang asli dan orang asal apabila mereka dapat membeli barangan dan perkhidmatan (Henttne 1995 dlm Willis, Katie 2005). Sebagai contoh, pengoperasian syarikat pembalakan di sesebuah kawasan hutan akan mewujudkan kilang-kilang pemprosesan kayu, keperluan tanaga kerja diperlukan di kilang-kilang seperti ini seterusnya wujud peluang pekerjaan. Orang-orang di sekitar kilang ini akan memperoleh pekerjaan dan upah buruh yang diperoleh akan dijadikan punca pendapatan melalui proses trickle down ini.

Walaubagaimanapun, dalam menjelaskan kepentingan komuniti serta kaitannya dengan kritikan pembangunan top down yang dilakukan, contoh kes yang boleh diambil daripada hujahan di atas adalah komuniti Lundayeh di Long Pasia. Terletak di persempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, terdapat suatu kawasan yang dikenali sebagai Ulu Padas. Di sinilah letaknya dua buah kampung, iaitu Long Mio dan Long Pasia. Suku yang menetap di sini ialah suku Lundayeh. Komuniti Lundayeh menganggap Ulu Padas sebagai satu daripada kawasan asal-usul mereka. Pada zaman silam, mereka membina rumah panjang berdekatan dengan hutan terutama sekali di hulu sungai Matang dan anak-anak sungai yang mengalir ke dalamnya. Bagi komuniti Lundayeh di Long Pasia, sungai merupakan bekalan air tawar dan sumber ikan yang penting bagi mereka. Kawasan sekitar hutan pula bagi komuniti ni merupakan sumber penting untuk makanan, ubat-ubatan, kayu api dan bahan binaan. Bahan binaan ini adalah seperti bulu,rotan dan kayu (Hoare 2002: 41 -73). Komuniti ini secara hariannya menggunakan sumber daya hutan jauh dari kawasan mereka untuk pertanian, terutamanya untuk ubatan dan tanaman. Mereka melihat kawasan mereka sebagai tanah keturunan dan melihat aspek yang penting untuk mempertahankan keunikan mereka sebagai satu cara hidup dan paling penting adalah pengekalan identiti etnik mereka. Menurut Justine Vaz (1999) kerisauan penduduk tempatan terhadap pembalakan yang dijalankan di sekitar hutan simpan akan mengancam kehidupan mereka. Komuniti ini kerap mengutarakan kerisauan mereka dalam perbincangan formal dan tidak formal. Menurut beliau, sudah bertahun lamanya status pemilikan tanah tidak dapat diselesaikan di kawasan ini. Hal ini telah menjadi satu faktor  kepada pengurangan hutan akibat aktiviti pembalakan dan kerisauan komuniti Lundayeh terjawab apabila aktviti pembalakan ini telah mengeruhkan sungai. “Sungai Merah” Long Pasia yang terkenal, yang airnya berwarna merah terang kesan dari tumbuhan dan dedaun hutan, kini telah bertukar menjadi keruh. Disamping itu juga, masalah banjir dan sumber hutan yang semakin berkurangan juga sering berlaku terpaksa dihadapi oleh komuniti di Long Pasia. Begitu juga di Long Mio, masalah yang sama  turut dirasai apabila  Sungai Mio terjejas akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai. Dalam Justine Vaz, beliau mendapati aktiviti pembalakan dilakukan oleh pihak luar menjadi faktor yang signifikan terhadap pengurangan sumber tradisional. Komuniti ini bergantung kepada sumber persekitaran dan secara langsung mata pencarian mereka turut terjejas akibat ancaman terhadap alam sekitar, aktiviti ekonomi dan kualiti hidup. Bagi komuniti Lundayeh, mereka telah beberapa kali cuba menyuarakan ketidakpuasan dan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa. Namun, mereka gagal untuk mendapatkan tuntutan bagi hak milik tanah di hutan Long Pasia. Hal ini menyebabkan mereka tidak berupaya dan tidak dapat mengawal pembalakan yang dijalankan. Keadaan lebih buruk apabila jalan balak yang disediakan oleh Sabah Forest Industries (SFI) bagi tujuan pembalakan, mengakibatkan pihak luar turut mengambil kesempatan untuk membalak di Hutan Simpan Ulu Padas. Aktiviti pembalakan ini menyebabkan kebanyakkan penduduk kampung merasa terganggu dan terancam dengan kemasukan jentera penebang pokok, lori dan pembalak haram. Menurut Justine Vaz, beberapa kawasan tanah negeri di hutan Ulu Padas  menjadi sasaran pihak-pihak luar yang berminat untuk mendapatkan hak milik bagi tanah tersebut. Terdapat pihak-pihak luar menggunakan penduduk di hutan Long Pasia untuk mendapatkan hak tanah adat supaya mudah untuk mereka menggunakannya sebagai aktiviti pembalakan. Sejak pertengahan tahun 1990-an, jalan balak telah menyediakan jalan masuk bagi pemburu rekreasi dan kem-kem balak. Di samping itu, penangkapan ikan sungai juga dilakukan secara berleluasa menggunakan elektrik dan tuba.

Dalam usaha untuk menyelesaikan masalah, Justine Vaz (1990) menyatakan bantuan kepada penduduk tempatan mendapatkan hak milikan tanah bagi kawasan tersebut merupakan satu cara untuk menghalang pembalakan, memberikan pengurusan masyarakat dan membolehkan pelaksanaaan tugas pemuliharaan. Tanah Negeri Hutan Ulu Padas juga mempunyai hutan pokok Kerangas yang jarang ditemui, Riverine Oak Chestnut, dan Agathis. Walaupun terdapat sokongan yang kuat untuk mengekalkan sumber hutan dan cara hidup kaum Lundayeh, terdapat juga pihak yang ingin mendapat keuntungan yang cepat dari aktiviti pembalakan. Pihak tertentu ini menggunakan taktik dengan cara membuat tuntutan tanah yang telah diusahakan sejak turun temurun. Menurut Justine Vaz lagi, tanpa kawalan dan pentadbiran kerajaan pusat yang baik maka amatlah sukar untuk menjalankan sebarang tindakan untuk mengatasi masalah ini. Walaubagaimanapun, begitu jelas sekali bahawa terdapat banyak pihak yang tidak jujur dalam mengemukakan tuntutan mereka. Justine Vaz turut mencadangkan satu kaedah pembahagaian tuntutan hak milik tanah yang lebih baik dari tuntutan “tradisional” atau adat. Namun, jika tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh komuniti ini tidak ditakrifkan dengan baik, maka ia pasti akan mengakibatkan pengurusan sumber hutan yang tidak cekap dan tidak akan menjamin kebajikan komuniti tempatan untuk tempoh jangka panjang.  Maslah status pemilikan tanah telah memberi peluang kepada pihak luar yang mengambil kesempatan seperti melakukan pembalakan haram, penebangan hutan yang tidak terurus, pencerobohan ke kawasan hutan simpan, menyebabkan pencemaran kualiti udara, air dan sebagainya. Menurut Justine Vaz (1999) dari pandangannya terhadap pemuliharaan, membantu penduduk tempatan mendapatkan hak milikan tanah bagi kawasan tersebut adalah satu cara untuk menghalang pembalakan.

Oleh yang demikian, degradasi persekitaran telah membawa kepada punca kemiskinan dalam kalangan komuniti yang menyebabkan wujud jurang pengagihan kekayaan. Pembangunan yang berkonsepkan bottom up  juga wajar di aplikasikan di Long Pasia dan Long Mio supaya wujud pengagihan sama rata dalam komuniti. Keadaan komuniti Lundayeh di Long Pasia memerlukan pembangunan dari akar umbi dan limitasi dalam komuniti harus dihapuskan. Justine Vaz (1999) yang mengetuai satu projek World Wide Fund (WWF-Malaysia) iaitu untuk menyokong usaha pemuliharaan hutan hujan Ulu Padas. Projek ini bertujuan menyedarkan dan memberi pemahaman tentang hak milik tanah dan tuntutan bagi pihak komuniti Lundayeh. Di samping itu juga, pengurusan masyarakat setempat diharapkan sebagai penyumbang kepada pengunaan sumber semulajadi dan membekalkan keperluan penduduk tempatan. Hal ini adalah dengan memastikan pembahagian tanah dan sumber diuruskan dengan lebih baik. Sistem pengurusan masyarakat setempat yang berfungsi perlu disokong oleh satu sistem organisasi komuniti untuk memastikan peraturan dipatuhi dan dilaksanakan dalam pengurusan sumber. Dalam kajian  Justine Vaz (1999) beliau mendapati bahawa ketiga-tiga elemen iaitu pengurusan masyarakat setempat, pengurusan sumber dan sistem organisasi komuniti ini tidak berfungsi di Ulu Padas. Sesetengah mempertikaikan bahawa situasi ini diakibatkan oleh pihak berkuasa tempatan yang telah diketepikan dan  keadaan ini menyebabkan  berlaku  penggunaan sumber tidak diuruskan dengan baik. Pembangunan akar umbi mempunyai kaitan dengan pemuliharaan biodiversiti kerana ia juga jawapan kepada kelemahan pembangunan top down, kajian yang telah dilakukan oleh Barrow (2002) di Cameron Highland menyatakan gabungan pemuliharaan biodiversiti dengan mata pencarian dapat dilakukan dengan menggunakan Tolerance forest management, Extractive reserves, green tourism dan ecotourism. Dalam perspektif yang berbeza pula, terdapat juga pandangan yang mengatakan kemusnahan persekitaran berlaku disebabkan oleh komuniti  yang mengeksploitasi persekitaraan mereka sendiri sehingga menyebabkan mereka menjadi miskin. Mengikut kajian Derek Freeman (1970), pertanian pindah yang dijalankan masyarakat Iban di Baleh adalah tidak relevan, membazir dan merosakkan alam sekitar. Dalam mengimbangi kedua-dua perspektif ini, penyataan Freeman telah dikritik oleh Robert Cramb yang berpendapat masyarakat Iban mengamalkan pertanian pindah yang baik. Oleh yang demikian, setiap pembangunan keatas komuniti khusunya top down  perlu menitikberatkan pada pembangunan akar umbi supaya kes Komuniti Lundayeh di Long Pasia tidak berulang serta kemiskinan dapat diatasi.

1 comment:

  1. salam tuan, ada sumber artikel ini, saya berminat untuk membacanya. TQ

    ReplyDelete