Wednesday, April 20, 2011

Kolonialism dan pembangunan ekonomi


Kolonialism bermaksud dasar kuasa yang kuat pada negara yang lemah iaitu dengan menguasai ekonomi, politik dan sosial. Kolonialism ini boleh dilihat melalui fizikal dan psikologi yang menyebabkan sesebuah budaya itu disebarkan kepada budaya lain melaui cara ketenteraan yang menjajah dan strereotaip antara dua budaya berbeza.
Kesan Kolonialism di Malaysia telah menyebabkan berlaku masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk di Malaysia dapat dilihat dengan jelas dari segi aspek politik. Dari segi politik kita dapat melihat bahawa Kolonialism banyak membawa kepada perubahan dari segi politik atau pentadbiran dan juga perundangan. Penjajahan British di tanah melayu telah membawa bersama dasar-dasar pentadbiran yang selaras dengan kemajuan mereka dari segi ilmu pengetahuan. Prinsip, sistem, struktur dan dasar yang diamalkan dalam pemerintahan mereka adalah jauh berbeza dengan sistem dan dasar pemerintahan yang telah sedia ada dan diguna pakai di tanah melayu.
Kesannya di Tanah Melayu, pemerintahan negara telah dikawal secara lansung oleh koloni Barat, manakala segala perkara berhubung dengan agama dan adat istiadat telah diberi kuasa dan dibawah pengawasan sultan melayu sendiri. unsur penting tersebut mempunyai bidang kuasa mereka yang tersendiri. Kolonialism ini telah banyak mewujudkan dasar-dasar Negara semasa pemerintahan mereka. Sebagai contoh, Sejak tahun 1874 dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing. Dalam hal ini Inggeris seolah-olah menggalakkan kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti indenture, kangani, kontrak, dan bebas.
Selain itu, kewujudan jabatan Perlindungan Orang Asing bagi melindungi para buruh imigran daripada peniindasan dan penganiayaan para kongsi gelap mahupun majikan telah dilaksanakan oleh Inggeris. Dengan wujudnya jabatan ini, ini bermakna buruh-buruh ini dilindungi oleh pemerintah Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing. Ini juga menjelaskan bahawa terdapat tindakan dan dasar kerajaan Inggeris mempastikan mereka tidak kehilangan buruh bagi menjana ekonomi Tanah Melayu.
Kesan Kolonialism dari aspek ekonomi dapat dilihat melalui kewujudan sistem ekonomi dualisme. Sistem ekonomi dualisme merujuk kepada dua tumpuan ekonomi yang berbeza namun ianya bergerak seiringan dengan garis etnik. Dua bentuk eksploitasi ekonomi utama yang dilakukan oleh Koloni British ialah perlombongan dan perladangan getah. Koloni British telah mewujudkan pembahagian etnik berdasarkan pembahagian pekerjaan dimana Melayu berada dalam sektor kerajaan dan pertanian, manakala Cina sebagai pelombong dan peniaga, dan orang India sebagai pekerja estet dan ladang.
Sistem ekonomi penjajah tertumpu kepada perdagangan moden yang berasaskan perusahaan getah dan perlombongan bijih timah. Sistem ekonomi ini berasaskan pasaran bandar dan diletakkan di bawah kawalan British. Sistem ini banyak melibatkan kumpulan etnik Cina dan India. Manakala sistem ekonomi tradisional ialah sektor pertanian di mana komoditi utamanya ialah penanaman padi dan perikanan. Teknik pengeluaran, pemasaran, dan tenaga kerja didominasi oleh etnik melayu dengan berteraskan budaya Melayu luar bandar atau budaya Melayu tradisional.
Secara tidak langsung, ekonomi dualisme ini telah melambangkan agihan tenaga kerja mengikut tiga etnik utama di Malaysia. Etnik Melayu tertumpu di sektor pertanian tradisional iaitu pekebun kecil getah, kelapa, pesawah padi, dan nelayan kecil-kecilan. Dalam sektor ekonomi moden pula, ianya didominasi oleh kumpulan etnik Cina di mana mereka menceburi aktiviti perlombongan, perkilangan, dan perkhidmatan. Ketidakseimbangan antara etnik jelas dilihat dalam sektor ketiga di mana separuh daripada sektor ini didominasi oleh etnik cina manakala etnik Melayu dan India hanya sedikit sahaja. Sektor ini menjadikan jurang etnik menjadi lebih luas lagi.
Kolonialism juga telah memberi kesan sosial kepada masyarakat, Imigran asing telah datang bersama-sama keluarga secara sukarela untuk menjalani kehidupan serta mencari kekayaan. Kehidupan di Tanah Melayu yang berlandaskan kebebasan dan tanpa paksaan telah mewujudkan interaksi yang mesra dengan penduduk tempatan. terdapat unsur-unsur akomodasi dalam kehidupan masyarakat pluralistik pada zaman itu. Mereka telah berkahwin dengan penduduk tempatan secara sukarela. Ini dapat dilihat melalui perkahwinan antara orang Cina dan masyarakat tempatan yang melahirkan masyarakat Cina Baba. Selain itu, budaya dan adat resam yang dibawa olah mereka juga turut diterima oleh penduduk tempatan dengan hati yang terbuka. 
Di samping itu juga, melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda, Inggeris menggalakkan lagi perbezaan kaum dan ia juga melebarkan lagi jurang perpaduan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Inggeris yang tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru. Sebagai kesan daripada keadaan ini wujud sukatan pendidikan yang berbeza serta keperluan guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia. Sebagai contohnya setiap kaum mengambil inisiatif dengan mengikut sukatan pendidikan serta mengambil para guru dari negara asal mereka. Bagi orang-orang Melayu ia hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi mengerjakan kerja-kerja sara diri sahaja dan tidak memberi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu akedemik.
          Kolonialism ini telah menjadi halangan kepada Negara sedang membangun untuk pembangunan ekonominya. Dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British telah mengasingkan kaum di Malaysia mengikut aktiviti ekonomi yang dijalankan. Hal ini telah menyebabkan peristiwa 13 Mei yang menyaksikan perbalahan kaum kerana ketidakpuasan mereka dalam pengagihan kekayaan. Persoalan bagaimana sesebuah negera itu membangun jika wujud kelompok-kelompok tertentu sahaja yang kaya manakala kelompok-kelompok di kawasan pinggir Bandar hidup miskin boleh ditimbulkan. Dasar Kolonial yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu banyak merugikan orang tempatan di sebabkan mereka mengaut hasil bijih timah, emas, getah, arang batu dan sebagainya untuk membangunkan Negara bangsa mereka sendiri. Selepas merdeka, hasil dari lombong bijih timah, emas dan arang batu hanya tinggal sisa kepada penduduk tempatan. Pembangunan sukar untuk dibangunkan oleh pemimpin pada ketika itu dengan beralih strategi kepada membangunkan sektor pertanian dan perindustrian di Malaysia.
          Di samping itu juga, halangan ini boleh dikaitkan dengan teori pergantungan oleh Dos Santos (1971). Teori Kebergantungan ini diwujudkan supaya pihak negara kaya terus menerus mendapat faedah ke atas sumber kekayaan negara miskin seperti bahan mentah, hasil bumi dan sebagainya. Pihak negara kaya sebagai metropolis dengan beberapa kelebihan yang ada dari segi teknologi dan kepakaran ditonjolkan sebagai menguasai ekonomi. Manakala negara miskin (satelit) hanyalah bertindak sebagai menyediakan keperluan bahan mentah dan sumber alam yang ada untuk disalurkan kepada metropolis tadi untuk menghasilkan produk akhir ataupun barangan siap yang kemudiannya dijual kembali kepada negara satelit tersebut.
Halangan pembangunan ekonomi Negara Dunia ke tiga yang seterusnya adalah disebabakan pinjaman wang dari institusi antarabangsa. Antara institusi dalam bidang ekonomi yang boleh digunakan oleh pusat kapitalis dunia, khususnya Amerika Syarikat untuk menguasai negara Dunia Ketiga (miskin) ialah Bank Dunia dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Amerika Syarikat sebagai penyumbang modal terbesar di dalam kedua-dua institusi itu beserta negara-negara kapitalis dunia yang lain mempunyai kuasa membuat keputusan. Oleh itu, Bank Dunia dan IMF telah dijadikan sebagai salah satu alat negara kapitalis berkenaan untuk menekan dan menindas negara miskin.
Pinjaman oleh IMF yang diberikan kepada negara yang sangat memerlukannya misalnya kepada Indonesia akibat kegawatan ekonomi dikatakan telah menindas negara tersebut dari segi perlaksanaan syarat ketat yang merugikan Indonesia sendiri. Antara syarat tersebut ialah penyusunan semula dalam bidang ekonomi dan politik negara peminjam, pembukaan pasaran, penarikan balik subsidi ke atas barangan utama dan sebagainya. Semua syarat tersebut akan menguntungkan negara kapitalis yang telah sedia kaya. Seterusnya negara miskin yang meminjam daripada Bank Dunia atau IMF akan berada di bawah telunjuk dan pengaruh negara kapitalis tersebut. Pengalaman di beberapa negara seperti Mexico dan Filipina menunjukkan pinjaman dari Bank Dunia dan IMF boleh mengakibatkan mereka terletak di bawah telunjuk Amerika Syarikat. Hal ini mejadi faktor penghalang kepada pembangunan ekonomi Negara sedang membangun di sebabkan kolonialism yang berlaku.

No comments:

Post a Comment