Wednesday, April 20, 2011

Pembangunan top down dan komuniti

Kemiskinan merupakan satu konsep yang luas, terdapat definisi yang mengatakan kemiskinan ini ialah satu keadaan di mana seseorang atau sebuah komuniti itu kekurangan bahan-bahan keperluan hidup. Jika dilihat dalam masyarakat moden, kemiskinan lebih dirasakan sebagai masalah kekurangan wang. Namun begitu, kemiskinan lebih sinonim dengan komuniti yang tinggal di kawasan pendalaman atau kampung. Persoalan yang perlu di huraikan di sini adalah kenapa komuniti yang tinggal di kawasan pendalaman ini sering menjadi mangsa kepada kemiskinan? Hujahan disini adalah komuniti menjadi miskin disebabkan mereka menjadi mangsa kepada degradasi atau kejatuhan nilai persekitaran. Hal ini kerana, pembangunan yang menggunakan konsep top down  yang tidak mementingkan pembangunan akar umbi akan menyebabkan berlaku berlaku kemiskinan terhadap komuniti. Degradasi dapat difinisikan sebagai kemusnahan persekitaran atau kerendahan martabat persekitaran yang disebabkan tindakan-tindakan manusia membuat pembangunan yang tidak berdasarkan perancangan. Degradasi dan konsep top down dapat dikaitkan jika pengertian top down itu dapat difahami, top down  merupakan pembangunan yang dibuat oleh pemerintah, kerajaan atau mereka yang memegang kuasa kepada komuniti iaitu rakyat, penduduk atau mereka yang mendapat arahan. Pembangunan pula dapat diertikan sebagai pembaharuan, pergerakan keatas atau peningkatan yang bertujuan untuk kemudahan dan keselesaan manusia. Konsep pembangunan juga dapat dikaitkan dengan teori modenisasi Rostow dimana Rostow menyatakan pembangunan adalah ditentukan oleh state, state berperanan di dalam pembangunan rakyat terutamnya dalam ekonomi. Terdapat lima tahap pembangunan mengikut rostow iaitu bermula dari masyarakat tradisional, kepada peralihan prasyarat untuk pelancaran, dan kepada tahap pelancaran, seterusnya tahap kematangan dan tahap penggunaan massa yang tinggi ( Jennifer A. Elliott, 2006: 17). Namun begitu, teori yang dibuat oleh Rostow hanya melihat kepada pembangunan satu arah linear  iaitu hanya dari atas ke bawah tanpa melihat kepada pembangunan bottom up. Penegasan yang harus dibuat disini ialah pembangunan top down harus melihat kepada akar umbi iaitu supaya komuniti tidak menjadi mangsa kepada degradasi persekitaraan.

Pembangunan yang berkonsepkan top down akan juga menghasilkan trickle down iaitu melaui proses pengagihan kekayaan daripada state kepada komuniti. Andaian yang dibuat melalui pembangunan ekonomi oleh Rostow (1960) yang bersifat top down telah memberi bantuan kepada orang miskin dan faedah kepada negara-negara sedang membangun melaului proses trickle down. Proses Trickle down juga dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi  orang miskin seperti orang asli dan orang asal apabila mereka dapat membeli barangan dan perkhidmatan (Henttne 1995 dlm Willis, Katie 2005). Sebagai contoh, pengoperasian syarikat pembalakan di sesebuah kawasan hutan akan mewujudkan kilang-kilang pemprosesan kayu, keperluan tanaga kerja diperlukan di kilang-kilang seperti ini seterusnya wujud peluang pekerjaan. Orang-orang di sekitar kilang ini akan memperoleh pekerjaan dan upah buruh yang diperoleh akan dijadikan punca pendapatan melalui proses trickle down ini.

Walaubagaimanapun, dalam menjelaskan kepentingan komuniti serta kaitannya dengan kritikan pembangunan top down yang dilakukan, contoh kes yang boleh diambil daripada hujahan di atas adalah komuniti Lundayeh di Long Pasia. Terletak di persempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, terdapat suatu kawasan yang dikenali sebagai Ulu Padas. Di sinilah letaknya dua buah kampung, iaitu Long Mio dan Long Pasia. Suku yang menetap di sini ialah suku Lundayeh. Komuniti Lundayeh menganggap Ulu Padas sebagai satu daripada kawasan asal-usul mereka. Pada zaman silam, mereka membina rumah panjang berdekatan dengan hutan terutama sekali di hulu sungai Matang dan anak-anak sungai yang mengalir ke dalamnya. Bagi komuniti Lundayeh di Long Pasia, sungai merupakan bekalan air tawar dan sumber ikan yang penting bagi mereka. Kawasan sekitar hutan pula bagi komuniti ni merupakan sumber penting untuk makanan, ubat-ubatan, kayu api dan bahan binaan. Bahan binaan ini adalah seperti bulu,rotan dan kayu (Hoare 2002: 41 -73). Komuniti ini secara hariannya menggunakan sumber daya hutan jauh dari kawasan mereka untuk pertanian, terutamanya untuk ubatan dan tanaman. Mereka melihat kawasan mereka sebagai tanah keturunan dan melihat aspek yang penting untuk mempertahankan keunikan mereka sebagai satu cara hidup dan paling penting adalah pengekalan identiti etnik mereka. Menurut Justine Vaz (1999) kerisauan penduduk tempatan terhadap pembalakan yang dijalankan di sekitar hutan simpan akan mengancam kehidupan mereka. Komuniti ini kerap mengutarakan kerisauan mereka dalam perbincangan formal dan tidak formal. Menurut beliau, sudah bertahun lamanya status pemilikan tanah tidak dapat diselesaikan di kawasan ini. Hal ini telah menjadi satu faktor  kepada pengurangan hutan akibat aktiviti pembalakan dan kerisauan komuniti Lundayeh terjawab apabila aktviti pembalakan ini telah mengeruhkan sungai. “Sungai Merah” Long Pasia yang terkenal, yang airnya berwarna merah terang kesan dari tumbuhan dan dedaun hutan, kini telah bertukar menjadi keruh. Disamping itu juga, masalah banjir dan sumber hutan yang semakin berkurangan juga sering berlaku terpaksa dihadapi oleh komuniti di Long Pasia. Begitu juga di Long Mio, masalah yang sama  turut dirasai apabila  Sungai Mio terjejas akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai. Dalam Justine Vaz, beliau mendapati aktiviti pembalakan dilakukan oleh pihak luar menjadi faktor yang signifikan terhadap pengurangan sumber tradisional. Komuniti ini bergantung kepada sumber persekitaran dan secara langsung mata pencarian mereka turut terjejas akibat ancaman terhadap alam sekitar, aktiviti ekonomi dan kualiti hidup. Bagi komuniti Lundayeh, mereka telah beberapa kali cuba menyuarakan ketidakpuasan dan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa. Namun, mereka gagal untuk mendapatkan tuntutan bagi hak milik tanah di hutan Long Pasia. Hal ini menyebabkan mereka tidak berupaya dan tidak dapat mengawal pembalakan yang dijalankan. Keadaan lebih buruk apabila jalan balak yang disediakan oleh Sabah Forest Industries (SFI) bagi tujuan pembalakan, mengakibatkan pihak luar turut mengambil kesempatan untuk membalak di Hutan Simpan Ulu Padas. Aktiviti pembalakan ini menyebabkan kebanyakkan penduduk kampung merasa terganggu dan terancam dengan kemasukan jentera penebang pokok, lori dan pembalak haram. Menurut Justine Vaz, beberapa kawasan tanah negeri di hutan Ulu Padas  menjadi sasaran pihak-pihak luar yang berminat untuk mendapatkan hak milik bagi tanah tersebut. Terdapat pihak-pihak luar menggunakan penduduk di hutan Long Pasia untuk mendapatkan hak tanah adat supaya mudah untuk mereka menggunakannya sebagai aktiviti pembalakan. Sejak pertengahan tahun 1990-an, jalan balak telah menyediakan jalan masuk bagi pemburu rekreasi dan kem-kem balak. Di samping itu, penangkapan ikan sungai juga dilakukan secara berleluasa menggunakan elektrik dan tuba.

Dalam usaha untuk menyelesaikan masalah, Justine Vaz (1990) menyatakan bantuan kepada penduduk tempatan mendapatkan hak milikan tanah bagi kawasan tersebut merupakan satu cara untuk menghalang pembalakan, memberikan pengurusan masyarakat dan membolehkan pelaksanaaan tugas pemuliharaan. Tanah Negeri Hutan Ulu Padas juga mempunyai hutan pokok Kerangas yang jarang ditemui, Riverine Oak Chestnut, dan Agathis. Walaupun terdapat sokongan yang kuat untuk mengekalkan sumber hutan dan cara hidup kaum Lundayeh, terdapat juga pihak yang ingin mendapat keuntungan yang cepat dari aktiviti pembalakan. Pihak tertentu ini menggunakan taktik dengan cara membuat tuntutan tanah yang telah diusahakan sejak turun temurun. Menurut Justine Vaz lagi, tanpa kawalan dan pentadbiran kerajaan pusat yang baik maka amatlah sukar untuk menjalankan sebarang tindakan untuk mengatasi masalah ini. Walaubagaimanapun, begitu jelas sekali bahawa terdapat banyak pihak yang tidak jujur dalam mengemukakan tuntutan mereka. Justine Vaz turut mencadangkan satu kaedah pembahagaian tuntutan hak milik tanah yang lebih baik dari tuntutan “tradisional” atau adat. Namun, jika tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh komuniti ini tidak ditakrifkan dengan baik, maka ia pasti akan mengakibatkan pengurusan sumber hutan yang tidak cekap dan tidak akan menjamin kebajikan komuniti tempatan untuk tempoh jangka panjang.  Maslah status pemilikan tanah telah memberi peluang kepada pihak luar yang mengambil kesempatan seperti melakukan pembalakan haram, penebangan hutan yang tidak terurus, pencerobohan ke kawasan hutan simpan, menyebabkan pencemaran kualiti udara, air dan sebagainya. Menurut Justine Vaz (1999) dari pandangannya terhadap pemuliharaan, membantu penduduk tempatan mendapatkan hak milikan tanah bagi kawasan tersebut adalah satu cara untuk menghalang pembalakan.

Oleh yang demikian, degradasi persekitaran telah membawa kepada punca kemiskinan dalam kalangan komuniti yang menyebabkan wujud jurang pengagihan kekayaan. Pembangunan yang berkonsepkan bottom up  juga wajar di aplikasikan di Long Pasia dan Long Mio supaya wujud pengagihan sama rata dalam komuniti. Keadaan komuniti Lundayeh di Long Pasia memerlukan pembangunan dari akar umbi dan limitasi dalam komuniti harus dihapuskan. Justine Vaz (1999) yang mengetuai satu projek World Wide Fund (WWF-Malaysia) iaitu untuk menyokong usaha pemuliharaan hutan hujan Ulu Padas. Projek ini bertujuan menyedarkan dan memberi pemahaman tentang hak milik tanah dan tuntutan bagi pihak komuniti Lundayeh. Di samping itu juga, pengurusan masyarakat setempat diharapkan sebagai penyumbang kepada pengunaan sumber semulajadi dan membekalkan keperluan penduduk tempatan. Hal ini adalah dengan memastikan pembahagian tanah dan sumber diuruskan dengan lebih baik. Sistem pengurusan masyarakat setempat yang berfungsi perlu disokong oleh satu sistem organisasi komuniti untuk memastikan peraturan dipatuhi dan dilaksanakan dalam pengurusan sumber. Dalam kajian  Justine Vaz (1999) beliau mendapati bahawa ketiga-tiga elemen iaitu pengurusan masyarakat setempat, pengurusan sumber dan sistem organisasi komuniti ini tidak berfungsi di Ulu Padas. Sesetengah mempertikaikan bahawa situasi ini diakibatkan oleh pihak berkuasa tempatan yang telah diketepikan dan  keadaan ini menyebabkan  berlaku  penggunaan sumber tidak diuruskan dengan baik. Pembangunan akar umbi mempunyai kaitan dengan pemuliharaan biodiversiti kerana ia juga jawapan kepada kelemahan pembangunan top down, kajian yang telah dilakukan oleh Barrow (2002) di Cameron Highland menyatakan gabungan pemuliharaan biodiversiti dengan mata pencarian dapat dilakukan dengan menggunakan Tolerance forest management, Extractive reserves, green tourism dan ecotourism. Dalam perspektif yang berbeza pula, terdapat juga pandangan yang mengatakan kemusnahan persekitaran berlaku disebabkan oleh komuniti  yang mengeksploitasi persekitaraan mereka sendiri sehingga menyebabkan mereka menjadi miskin. Mengikut kajian Derek Freeman (1970), pertanian pindah yang dijalankan masyarakat Iban di Baleh adalah tidak relevan, membazir dan merosakkan alam sekitar. Dalam mengimbangi kedua-dua perspektif ini, penyataan Freeman telah dikritik oleh Robert Cramb yang berpendapat masyarakat Iban mengamalkan pertanian pindah yang baik. Oleh yang demikian, setiap pembangunan keatas komuniti khusunya top down  perlu menitikberatkan pada pembangunan akar umbi supaya kes Komuniti Lundayeh di Long Pasia tidak berulang serta kemiskinan dapat diatasi.

Kolonialism dan pembangunan ekonomi


Kolonialism bermaksud dasar kuasa yang kuat pada negara yang lemah iaitu dengan menguasai ekonomi, politik dan sosial. Kolonialism ini boleh dilihat melalui fizikal dan psikologi yang menyebabkan sesebuah budaya itu disebarkan kepada budaya lain melaui cara ketenteraan yang menjajah dan strereotaip antara dua budaya berbeza.
Kesan Kolonialism di Malaysia telah menyebabkan berlaku masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk di Malaysia dapat dilihat dengan jelas dari segi aspek politik. Dari segi politik kita dapat melihat bahawa Kolonialism banyak membawa kepada perubahan dari segi politik atau pentadbiran dan juga perundangan. Penjajahan British di tanah melayu telah membawa bersama dasar-dasar pentadbiran yang selaras dengan kemajuan mereka dari segi ilmu pengetahuan. Prinsip, sistem, struktur dan dasar yang diamalkan dalam pemerintahan mereka adalah jauh berbeza dengan sistem dan dasar pemerintahan yang telah sedia ada dan diguna pakai di tanah melayu.
Kesannya di Tanah Melayu, pemerintahan negara telah dikawal secara lansung oleh koloni Barat, manakala segala perkara berhubung dengan agama dan adat istiadat telah diberi kuasa dan dibawah pengawasan sultan melayu sendiri. unsur penting tersebut mempunyai bidang kuasa mereka yang tersendiri. Kolonialism ini telah banyak mewujudkan dasar-dasar Negara semasa pemerintahan mereka. Sebagai contoh, Sejak tahun 1874 dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing. Dalam hal ini Inggeris seolah-olah menggalakkan kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti indenture, kangani, kontrak, dan bebas.
Selain itu, kewujudan jabatan Perlindungan Orang Asing bagi melindungi para buruh imigran daripada peniindasan dan penganiayaan para kongsi gelap mahupun majikan telah dilaksanakan oleh Inggeris. Dengan wujudnya jabatan ini, ini bermakna buruh-buruh ini dilindungi oleh pemerintah Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing. Ini juga menjelaskan bahawa terdapat tindakan dan dasar kerajaan Inggeris mempastikan mereka tidak kehilangan buruh bagi menjana ekonomi Tanah Melayu.
Kesan Kolonialism dari aspek ekonomi dapat dilihat melalui kewujudan sistem ekonomi dualisme. Sistem ekonomi dualisme merujuk kepada dua tumpuan ekonomi yang berbeza namun ianya bergerak seiringan dengan garis etnik. Dua bentuk eksploitasi ekonomi utama yang dilakukan oleh Koloni British ialah perlombongan dan perladangan getah. Koloni British telah mewujudkan pembahagian etnik berdasarkan pembahagian pekerjaan dimana Melayu berada dalam sektor kerajaan dan pertanian, manakala Cina sebagai pelombong dan peniaga, dan orang India sebagai pekerja estet dan ladang.
Sistem ekonomi penjajah tertumpu kepada perdagangan moden yang berasaskan perusahaan getah dan perlombongan bijih timah. Sistem ekonomi ini berasaskan pasaran bandar dan diletakkan di bawah kawalan British. Sistem ini banyak melibatkan kumpulan etnik Cina dan India. Manakala sistem ekonomi tradisional ialah sektor pertanian di mana komoditi utamanya ialah penanaman padi dan perikanan. Teknik pengeluaran, pemasaran, dan tenaga kerja didominasi oleh etnik melayu dengan berteraskan budaya Melayu luar bandar atau budaya Melayu tradisional.
Secara tidak langsung, ekonomi dualisme ini telah melambangkan agihan tenaga kerja mengikut tiga etnik utama di Malaysia. Etnik Melayu tertumpu di sektor pertanian tradisional iaitu pekebun kecil getah, kelapa, pesawah padi, dan nelayan kecil-kecilan. Dalam sektor ekonomi moden pula, ianya didominasi oleh kumpulan etnik Cina di mana mereka menceburi aktiviti perlombongan, perkilangan, dan perkhidmatan. Ketidakseimbangan antara etnik jelas dilihat dalam sektor ketiga di mana separuh daripada sektor ini didominasi oleh etnik cina manakala etnik Melayu dan India hanya sedikit sahaja. Sektor ini menjadikan jurang etnik menjadi lebih luas lagi.
Kolonialism juga telah memberi kesan sosial kepada masyarakat, Imigran asing telah datang bersama-sama keluarga secara sukarela untuk menjalani kehidupan serta mencari kekayaan. Kehidupan di Tanah Melayu yang berlandaskan kebebasan dan tanpa paksaan telah mewujudkan interaksi yang mesra dengan penduduk tempatan. terdapat unsur-unsur akomodasi dalam kehidupan masyarakat pluralistik pada zaman itu. Mereka telah berkahwin dengan penduduk tempatan secara sukarela. Ini dapat dilihat melalui perkahwinan antara orang Cina dan masyarakat tempatan yang melahirkan masyarakat Cina Baba. Selain itu, budaya dan adat resam yang dibawa olah mereka juga turut diterima oleh penduduk tempatan dengan hati yang terbuka. 
Di samping itu juga, melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda, Inggeris menggalakkan lagi perbezaan kaum dan ia juga melebarkan lagi jurang perpaduan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Inggeris yang tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru. Sebagai kesan daripada keadaan ini wujud sukatan pendidikan yang berbeza serta keperluan guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia. Sebagai contohnya setiap kaum mengambil inisiatif dengan mengikut sukatan pendidikan serta mengambil para guru dari negara asal mereka. Bagi orang-orang Melayu ia hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi mengerjakan kerja-kerja sara diri sahaja dan tidak memberi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu akedemik.
          Kolonialism ini telah menjadi halangan kepada Negara sedang membangun untuk pembangunan ekonominya. Dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British telah mengasingkan kaum di Malaysia mengikut aktiviti ekonomi yang dijalankan. Hal ini telah menyebabkan peristiwa 13 Mei yang menyaksikan perbalahan kaum kerana ketidakpuasan mereka dalam pengagihan kekayaan. Persoalan bagaimana sesebuah negera itu membangun jika wujud kelompok-kelompok tertentu sahaja yang kaya manakala kelompok-kelompok di kawasan pinggir Bandar hidup miskin boleh ditimbulkan. Dasar Kolonial yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu banyak merugikan orang tempatan di sebabkan mereka mengaut hasil bijih timah, emas, getah, arang batu dan sebagainya untuk membangunkan Negara bangsa mereka sendiri. Selepas merdeka, hasil dari lombong bijih timah, emas dan arang batu hanya tinggal sisa kepada penduduk tempatan. Pembangunan sukar untuk dibangunkan oleh pemimpin pada ketika itu dengan beralih strategi kepada membangunkan sektor pertanian dan perindustrian di Malaysia.
          Di samping itu juga, halangan ini boleh dikaitkan dengan teori pergantungan oleh Dos Santos (1971). Teori Kebergantungan ini diwujudkan supaya pihak negara kaya terus menerus mendapat faedah ke atas sumber kekayaan negara miskin seperti bahan mentah, hasil bumi dan sebagainya. Pihak negara kaya sebagai metropolis dengan beberapa kelebihan yang ada dari segi teknologi dan kepakaran ditonjolkan sebagai menguasai ekonomi. Manakala negara miskin (satelit) hanyalah bertindak sebagai menyediakan keperluan bahan mentah dan sumber alam yang ada untuk disalurkan kepada metropolis tadi untuk menghasilkan produk akhir ataupun barangan siap yang kemudiannya dijual kembali kepada negara satelit tersebut.
Halangan pembangunan ekonomi Negara Dunia ke tiga yang seterusnya adalah disebabakan pinjaman wang dari institusi antarabangsa. Antara institusi dalam bidang ekonomi yang boleh digunakan oleh pusat kapitalis dunia, khususnya Amerika Syarikat untuk menguasai negara Dunia Ketiga (miskin) ialah Bank Dunia dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Amerika Syarikat sebagai penyumbang modal terbesar di dalam kedua-dua institusi itu beserta negara-negara kapitalis dunia yang lain mempunyai kuasa membuat keputusan. Oleh itu, Bank Dunia dan IMF telah dijadikan sebagai salah satu alat negara kapitalis berkenaan untuk menekan dan menindas negara miskin.
Pinjaman oleh IMF yang diberikan kepada negara yang sangat memerlukannya misalnya kepada Indonesia akibat kegawatan ekonomi dikatakan telah menindas negara tersebut dari segi perlaksanaan syarat ketat yang merugikan Indonesia sendiri. Antara syarat tersebut ialah penyusunan semula dalam bidang ekonomi dan politik negara peminjam, pembukaan pasaran, penarikan balik subsidi ke atas barangan utama dan sebagainya. Semua syarat tersebut akan menguntungkan negara kapitalis yang telah sedia kaya. Seterusnya negara miskin yang meminjam daripada Bank Dunia atau IMF akan berada di bawah telunjuk dan pengaruh negara kapitalis tersebut. Pengalaman di beberapa negara seperti Mexico dan Filipina menunjukkan pinjaman dari Bank Dunia dan IMF boleh mengakibatkan mereka terletak di bawah telunjuk Amerika Syarikat. Hal ini mejadi faktor penghalang kepada pembangunan ekonomi Negara sedang membangun di sebabkan kolonialism yang berlaku.

Friday, April 15, 2011

Peranan wanita dalam pembangunan ekonomi

Peranan wanita sebagai isteri, ibu ataupun kakak memainkan peranan penting dalam institusi keluarga. Pekerjaan merupakan titik permulaan bagi menentukan status dan taraf kehidupan seseorang tanpa memilih jantina. Wanita dan kerjaya adalah penting dalam membantu meringankan beban kewangan keluarga. Keperluan keluarga yang begitu besar dan mendesak wanita sebagai isteri membantu suami dengan bekerja untuk memenuhi keperluan harian. Namun begitu, wanita dianggap sebagai mempunyai peranan penting dalam pembangunan sesebuah ekonomi. Faktor-faktor seperti menyara keluarga, kerajinan dan hak telah membawa wanita menyumbang kearah pembangunan ekonomi.
          Berdasarkan kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, dianggarkan pada tahun 2005, 48 peratus tenaga kerja wanita menyumbang 50 peratus daripada pendapatan keluarga. Kajian itu menyatakan 65 peratus wanita bekerjaya adalah wanita yang menguruskan rumah tangga. Manakala kajian lain, dilaporkan dalam Journal of Epidemiology and Community Health mendapati wanita bekerja dan pada masa yang sama berperanan sebagai isteri dan ibu mempunyai tahap kesihatan yang baik berbanding suri rumah yang tidak bekerja ataupun wanita yang belum mempunyai anak.
 Disamping itu juga, catatan pengembaraan Abdullah Munsyi yang menyifatkan bidang perniagaan sinonim dengan wanita seperti di negeri Kelantan terbukti apabila Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu dimonopoli golongan wanita. Pasar yang pada awalnya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu itu, kemudian ditukar namanya kepada Pasar Besar Siti Khadijah oleh kerajaan Kelantan sebagai penghormatan kepada lebih 300 peniaga yang hampir kesemuanya adalah golongan wanita. Hal ini  menunjukkan keupayaan golongan wanita yang mejadi model kepada pembangunan ekonomi sesebuah Negara.
Chritine Helliwell (1993) menyatakan bahawa wanita mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan lapangan “ domestic”  iaitu tugas penjagaan anak-anak, mengurus dan menjaga kebajikan ahli isi rumah dan rumahtangga. Sebaliknya, golongan lelaki lebih telibat dengan persekitaran sosial dan awam yang lebih luas. Perbezaan yang jelas adalah lelaki dibayar wang apabila melakukan pekerjaan dalam konteks public manakala wanita tidak dibayar wang apabila bekerja dalam aktiviti domestik. Walaupun hal ini terjadi, wanita tetap berusaha membantu golongan lelaki dalam konteks sesebuah keluarga dengan pelbagai usaha seperti berniaga secara kecil-kecilan di halaman rumah, mengambil upah mejahit, mengambil upah mejaga anak-anak jiran yang bekerja dan ada juga membuat kraftangan untuk menjana pendatapan keluarga.
          Peranan reproduktif sering ditafsirkan sebagai bukan satu bentuk pekerjaan. Hal ini disebabkan kerja wanita dalam rumahtangga tidak dibayar upah dan kerja berupah dilihat sebagai produktif. Tugas seperti menjaga anak, layanan kepada isi rumah, menjahit atau mencuci pinggan mangkuk tidak anggap sebagai suatu pekerjaan mengikut pendefinisian kerja.             
Mengikut Ratna Sapri dan Brigitte Holzer (1997) telah membezakan tiga jenis kerja reproduksi yang dilakukan oleh wanita iaitu reproduksi biologis, reproduksi tenaga kerja, dan reproduksi sosial. Reproduksi biologis ialah melahirkan anak manakala reproduksi tenaga kerja ialah sosialisasi dan pengasuhan anak untuk mempersiapkan mereka menjadi tenaga kerja. Reproduksi sosial pula merupakan kerja yang meneruskan hubungan produksi dan struktur sosial dalam keluarga. Kegiatan seperti memasak, membasuh, membersih, membesarkan anak dan sebagainya adalah ditanggung secara percuma oleh wanita. Kajian yang dijalankan keatas komuniti setinggan turut membuktikan kerja yang dilakukan dalam lingkungan rumahtangga telah menyumbang pendapatan dalam membantu meningkatkan taraf hidup isi rumah setinggan itu sendiri ( Jalihah Md. Shah, 2003).
          Peranan produktif merupakan aktiviti kerja yang mempunyai nilai pertukaran samada secara nyata atau berpotensi. Aktiviti pekerjaan dalam sektor formal dan tidak formal merupakan aktiviti produktif. Dengan lebih jelas, wanita yang membantu menyumbang pendapatan kepada keluarga mereka seperti menjual keropok dan menjahit dengan mendapat upah adalah produktif. Walaupun wanita terlibat dalam aktiviti ekonomi, peranan dan sumbangan mereka dalam menguruskan rumah tangga masih berterusan. Keadaan ini menunjukkan bahawa pembahagian tenaga kerja di dalam isi rumah memperlihatkan golongan wanita mendominasi tugas reproduktif.
Sebagai Contoh kes pembangunan ekonomi wanita di India, Projek pembangunan di bawah The Self-Employed Women’s Association (SEWA) telah memberi peluang kepada penduduk miskin terutamanya golongan wanita melibatkan diri dalam projek yang dijalankan. Projek-projek ini adalah seperti memberi peluang wanita dalam pekerjaan rasmi, mengajar wanita dalam kemahiran teknikal dan menghapuskan upah yang rendah di kalangan wanita. Projek ini telah memberi peluang kepada wanita untuk maju dan bangun setaraf dengan golongan lelaki  iaitu dalam bersama-sama memajukan kawasan setinggan melalui projek pembangunan ini. SEWA’s dibentuk pada 1972 dan merupakan sebuah organisasi dan pergerakkan dalam menperbaiki kemisikinan, pendidikan dan melindungi wanita daripada bahaya melalui sokongan pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan serta keselamatan sosial. Dianggarkan 200,000 orang yang terlibat dengan kemiskinan adalah wanita yang bekerja sendiri dalam sektor tidak rasmi di kawasan pendalaman daerah Gujarat, India. Hal ini telah mengerakkan golongan wanita di Gujarat untuk menyertai SEWA’s melalui pengorganisasian dalam kesatuan dan kerjasama mengikut perbezaan pekerjaan mereka yang terlibat.
Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan bahawa didapati 47 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri daripada golongan wanita. Negara kini menyaksikan peningkatan 10 peratus penceburan wanita dalam kerjaya profesional, pengurusan dan teknikal sejak tahun 1990. Peningkatan ini dapat dilihat dalam sektor keusahawanan yang mencatatkan jumlah 82,911 usahawan terdiri daripada golongan wanita.
Peningkatan yang memberangsangkan ini nyata membuktikan bahawa martabat wanita dalam sosiologi kehidupan telah banyak berubah. Peranan wanita kini tidak lagi hanya tertumpu kepada soal pengurusan keluarga sebaliknya lebih meluas dalam pembangunan negara. Hal ini selaras dengan kesamarataan hak, peluang, dan layanan dari segi gender, etnik, kelas untuk masyarakat madani yang maju.
 Sumbangan dan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi negarasememangnya wujud dan telah diiktiraf. Jumlah wanita yang mewakili separuh daripadapenduduk Malaysia iaitu sebanyak 13.1 juta dan telah mewujudkan hampir 5.0 juta keluargamenjadikan peranan wanita hari ini amat besar. Dahulu, wanita sering dikaitkan dengansuri rumah, tetapi segalanya-galanya telah berubah sesuai dengan 50 tahun kemerdekaan yangdicapai oleh negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), wanita telah memberikan sumbangan yang ketara kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Pencapaian pendidikan yang lebih tinggi mendorong penyertaan wanita dalam tenaga buruh
dan pelbagai aktiviti perniagaan.

McDonaldization dan perubahan masyarakat


Menurut Ritzer (1993) McDonaldization adalah proses di mana prinsip-prinsip restoran makanan segera yang datang dari masyarakat Amerika  untuk mendominasi sektor-sektor yang tertentu di seluruh dunia. Sejak tahun 1955, McDonald's telah berkembang menjadi 31967 outlet di seluruh dunia (Der Nurnburger 2010). Konsep utama yang digunakan dalam industri makanan segera telah merebak ke semua jenis restoran seperti restoren pizza, kedai ais krim dan ayam goreng di seluruh Negara.  
Sejarah McDonaldization bermula daripada Raymond Albert Kroc dimana pada asalnya beliau merupakan seorang pengedar minuman susu di Carlifornia, Amerika. Pada tahun 1950, Ray Kroc telah mendapat idea daripada dua orang saudara mereka iaitu Ruchard dan Maurice McDonald yang pada ketika itu memiliki sebuah restoran hamburger di San Bernadino, Amerika untuk membuka sebuah restoran McDonald seterusnya mendapatkan hak francais. Seterusnya, Ray Kroc telah menubuhkan McDonald’s Corporatian pada tahun 1955 dengan membuka restoran pertama di Des Plaines, Illinois. McDonald's telah tumbuh menjadi organisasi Restoran terbesar di dunia dan pada hari ini terdapat lebih dari 30 000 restoran McDonald's. Anggaran 47 juta pelanggan di setiap 100 negara telah mengangkat nama McDonald. Walaupun Ray Kroc meninggal dunia pada tahun 1984, tetapi kejayaannya tetap diteruskan dengan pewaris, francais, pembekal dan pekerja McDonald yang cekap.
McDonaldization sekarang telah merubah kehidupan masyarakat iaitu dari segi cara pemakanan di mana kita tidak perlu lagi untuk bersusah payah untuk memasak dan mengambil masa yang lama untuk makan, sebaliknya kita lebih suka untuk ke restoran makanan segera kerana proses yang cepat dan mudah untuk makan. Di samping itu juga, Mcdonaldization tidak memerlukan jualan langsung seperti bergerak untuk mencari pelanggan sebaliknya pelanggan mencari mereka. Hal ini dapat dapat di buktikan dengan kewujudan restoran McDonald di pinggiran bandar, pusat-pusat bandar, pusat membeli belah, lapangan terbang, taman-taman dan sekitar lebuh-lebuh raya. McDonaldization juga telah mendominasi kawasan jalan raya di mana setiap susur keluar masuk setiap jalan raya wujud restoran-restoran mereka.
Pada 1980-an dan 1990-an McDonaldization telah memperluaskan cawanganya ke seluruh daerah-daerah yang mempunyai penduduk yang ramai walaupun daerah tersebut semakin jauh dari pusat perniagaan mereka (Ritzer:1994). Ritzer telah mengembangkan konsep McDonaldization berdasarkan pada teori rasionalisasi oleh Max Weber iaitu seorang ahli sosiologi Jerman pada abad ke 19 yang menggunakan idea birokrasi untuk mengekspresikan idea-ideanya. Menurut Weber, teori rasionalisasi terdiri daripada empat dimensi asas iaitu kecekapan, penghitungan, ramalan kemungkinan dan penggantian manusia dengan teknologi.
Dimensi yang pertama dalam McDonaldizatiaon adalah kecekapan yang bererti memilih saranan untuk mencapai matlamat akhir dengan cepat, kos yang sedikit dengan sesuatu usaha. Idea kecekapan merupakan satu khusus untuk kepentingan industri atau perniagaan yang akan memberi manfaat kepada pelanggan.
Dimensi yang kedua dalam McDonaldization adalah perhitungan, aplikasi dalam Mcdonaldization juga melibatkan penekanan kepada perhitungan, pengiraan ataupun pengukuran yang melibatkan kuantiti. Contohnya, jika kita memesan makanan di mana-mana restoran Mcdonaldization, tempoh masa menunggu bagi pelanggan akan menjadi keutaman di mana terdapat had masa yang tertentu ditetapkan supaya pelanggan tidak menunggu lama untuk memperoleh makanan.
Dimensi yang ke tiga dalam McDonaldization adalah ramalan, ramalan dalam Mcdonaldization merujuk kepada rasional pelanggan yang di ambil kira untuk proses membaikpulih sesuatu keluaran makan yang telah di cuba pelanggan. Contoh, sesuatu resepi makanan baru yang dikeluarkan oleh restoran Mcdonald akan diramal berdasarkan kepuasan pelanggan terhadap makanan tersebut.
Dalam restoran Mcdonald, penggabungan tenaga manusia dengan teknologi merupakan aplikasi yang terakhir dalam Mcdonaldization dimana teknologi mengambil tugas manusia. Teknologi yang dimaksudkan disini merujuk kepada mesin seperti pembakar kentang, mesin juruwang, pengadun coklat, pembakar daging dan komputer dimana ia merupakan mengambil tugas manusia untuk meningkatkan pengeluaran dan mempercepatkan tugas pekerja.
McDonaldization juga secara langsung telah mengubah institusi keluarga dimana ia menjadi model kepada sesebuah keluarga. Jika dilihat perbezaan sesebuah keluarga sebelum kedatangan restoran makanan segera ini, perbezaan yang jelas dapat kita lihat dalam penyediaan makanan harian iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Sesebuah institusi keluarga itu mempunyai kualiti dalam kesepakatan apabila masing-masing mempunyai tugas yang tersendiri semasa menyediakan makanan. Tugas seorang ibu mungkin memasak manakala tugas seorang bapa membantu isterinya di dapur. Anak-anak pula berpeluang mempelajari bagaimana ibu mereka menyediakan makanan dan merasai sendiri masakan ibu mereka. Kesepakatan dapat dilihat dalam institusi keluarga dan ini berbeza setelah budaya McDonaldization telah menyerap masuk ke dalam institusi keluarga.
          Pengaruh McDonaldization begitu besar sehingga ia dapat mengurangkan dan menyenangkan tugas seorang ibu ataupun bapa daripada menyediakan makanan di rumah kepada memesan makanan sahaja untuk makan bersama-sama anak-anak. Masyarakat hari ni di pengaruhi oleh McDonaldization dalam kehidupan, disebabkan oleh arus perdana yang berkembang pesat, masyarakat lebih bekerja keras dan rajin untuk mencapai hidup yang penuh persaingan. Tugas kerja yang padat menyebabkan batas masa yang singkat terutamanya kepada sesebuah keluarga. Ibu bapa yang bekerja mempunyai masa yang singkat bersama anak-anak sehingga terpaksa membawa anak-anak ke restoren makanan segera. Anak-anak mula tidak mengetahui penyediaan makanan yang dimakan malah diasimilasi oleh penjaga mereka cara memesan makanan tanpa mengetahui proses dan kandungan dalam makanan mereka.
Bagi anak-anak sekolah, ibu bapa gemar menyediakan anak mereka makanan segera ini kerana waktu pagi yang singkat antara waktu persekolahan anak-anak mereka dengan waktu kerja ibu-bapa. Hal ini berlaku disebabkan kemudahan dalam cara memesan makanan di restoran McDonald yang memerlukan pesanan makanan dalam kereta tanpa tidak memerlukan mereka untuk turun dan berbaris di kaunter. Cara ini amat pantas sehingga ibu bapa dapat menjimatkan masa daripada bangun awal pagi untuk menyediakan makanan anak-anak. Dalam McDonald, cara memesan makanan ini dipanggil ‘drivethru’  khas untuk pelanggan yang menggunakan kenderaan.
Masyarakat moden hari ini sudah semestinya terpengaruh dengan iklan-iklan makanan segera terutamanya di kaca televisyen. Makanan-makanan di McDonald kerap kali menguasai media sehingga ia menjadi pilihan utama masyarakat dengan iklan-iklan yang berkesan. Salah satu strategi pasaran yang berkesan oleh syarikat makanan segera ini yang berjaya membawa keluarga untuk makan bersama di restoran makanan segera tanpa perlu memikirkan apa yang perlu dimakan. Hal ini kerana, restoran McDonald mempunyai menu yang disusun pada waktu tertentu seperti menu untuk sarapan, menu untuk makan tengah hari dan menu untuk makan malam yang hanya memerlukan kita memilih sahaja apa yang dikehendaki. Mcdonaldization ini telah mempengaruhi rutin sesebuah masyarakat dimana pengaruh yang kuat ini berjaya mengubah cara hidup mereka seiring kehidupan moden yang pantas. Di samping itu juga, pengaruh ini juga menjadi model kepada beberapa syarikat makanan segera yang lain untuk meniru cara restoran McDonald menarik pelanggan sehingga ia telah mempunyai cawangan di seluruh dunia yang berjaya mengubah gaya hidup masyarakat.

Pembangunan dan perubahan sosial Kelantan


Perubahan sosial yang berlaku boleh dilihat dengan bukti pembangunan yang berlaku dari dahulu dan sekarang. Di Malaysia, perubahan yang berlaku dari dahulu dan sekarang lebih jelas dilihat dari aspek fizikal dan budaya masyarakat di Malaysia. Perubahan dari aspek fizikal termasuklah pembangunan infrastruktur seperti bangunan, jalan raya, jambatan, kemudahan awam. Dalam membandingkan perubahan sosial yang berlaku dalam kehidupan kita, contoh pembangunan negeri Kelantan boleh diambil untuk menilai perubahan yang berlaku. Kelantan kerap kali di anggap sebagai negeri yang kurang membangun oleh segelintir masyarakat luar yang mempunyai pemikiran cetek tanpa melihat perubahan fizikal dan sosial yang telah berlaku sekarang. Dahulu, Kelantan boleh dikatakan negeri yang miskin mengikut bancian berdasarkan pendapatan penduduk, tetapi sekarang Kelantan telah mengalami perubahan secara perlahan-lahan seiring dengan arus perdana.
Menurut temubual yang dilakukan  pada generasi yang lahir pada tahun 1950 an yang boleh dijadikan rujukan untuk menilai perubahan yang berlaku di negeri Kelantan, mereka menyatakan bahawa perubahan pembangunan di Kelantan banyak dipengaruhi oleh pemimpin yang mentadbir pada masa tersebut. Jika dilihat era sebelum merdeka, Kelantan dan negeri-negeri lain tidak mempunyai perbezaan yang besar dari segi infrastruktur. Mereka juga menyatakan Kelantan pada masa sekarang telah jauh berbeza dari masa dahulu terutamanya pembangunan Bandaraya Kota Bharu yang menjadi pusat Bandar kepada Kelantan.  Menurut mereka, pada sekitar tahun 1960an hingga 1980 an, kemudahan awam seperti bas, jalan raya dan komunikasi sangat terhad sehingga mereka menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Tambahan pula, jalan tanah di gunakan pada masa tersebut sebelum di gantikan jalan berturap pada sekitar lewat 80 an. Bagi penduduk yang tinggal di sebelah Tumpat, mereka terpaksa menggunakan perahu untuk ke Bandar Kota Bharu menyeberangi sungai Kelantan. Namun selepas 80 an, kerajaan telah banyak melakukan perubahan seperti kemudahan jalan raya, mewujudkan hospital, pembinaan jambatan, bangunan kedai di Bandar untuk kemudahan rakyat. Bagi masyarakat Kelantan, perubahan yang berlaku ini telah memberi banyak faedah kepada mereka termasuklah pembukaan pusat perniagaan seperti Pasar Siti Khatijah yang memberi peluang kepada masyarakat kelantan untuk mencari rezeki.
Kelantan terkenal dengan penduduknya yang beragama Islam. Buktinya gelaran Serambi Mekah sinonim dikaitkan oleh kita sejak dari dahulu sehingga sekarang. Kelantan juga sinonim dengan gelaran Negeri Tadahan Wahyu. Dikenali juga dengan panggilan Tanah Serendah Sekebun Bunga atau negeri berbudaya. Penduduknya adalah 95 peratus beragama Islam. Jumlah penduduknya sekarang melebihi 1.5 juta orang. Justeru William R. Roff  (1974) pula mengiktiraf Kelantan sebagai: “The Islamic State of Kelantan, in the north-east corner of mainland Malaysia bordering southern Thailand, has existed as a locus of power in the peninsular for the least a thousand years.”
Di sebalik kenyataan tersebut, ternyata Kelantan merupakan negeri yang unik, terutama dari segi wajah kuasa rakyat dan kehidupan budaya politiknya. Negeri Kelantan sejak sebelum merdeka melalui proses sejarah yang pernah dinaungi kuasa Siam dan selepas itu dinaungi oleh penjajah Inggeris melalui perjanjian Bangkok sehinggalah merdeka. Namun menjelang merdeka berlaku pilihan raya Persekutuan 1955 kuasa politik rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional menang di Kelantan.  Pada pilihan raya pertama 1959 iaitu selepas merdeka berlaku pula perubahan mandat rakyat Kelantan apabila Parti Islam SeMalaysia dipilih mengetuai kuasa politik negeri. Mandat kuasa kepada Parti Islam SeMalaysia berlaku sehinggalah tercetus ‘politik darurat’ 1977 yang menyaksikan mandat kuasa rakyat beralih kembali kepada pemerintahan Barisan Nasional tahun 1978. Pilihan raya umum ke-8 pada 21 Oktober 1990, rakyat mula beralih sokongan kepada Parti Islam Semalaysia dan mendapat mandat mentadbir negeri untuk kali kedua.
Parti Islam SeMalaysia melalui tempoh pentadbiran memimpin rakyat Kelantan yang berjaya mencetuskan sejarah tersendiri di sisi rakyat Kelantan. Kerajaan yang mentadbir negeri Kelantan pada masa sekarang tetap membina harapan rakyat dengan pelbagai usaha pembangunan yang meliputi fizikal, sikap dan rohani rakyat. Justeru dari aspek fizikal, Pada tahun 1959 sebanyak 7,620 keluarga penduduk miskin di anugerahkan tanah untuk membantu mereka membina tempat tinggal yang selesa. Pemberian ini adalah seluas 78,170 ekar diberi kepada  sebagai penempatan baru di Hulu Kelantan.
Hari ini pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN) telah membuahkan hasilnya. Jika dahulu, tanah hutan yang tidak berpenghuni dibiarkan sahaja tetapi melalui LKTN ini, insiatif berjaya dilakukan untuk memajukan tanah yang terbiar. Ramai peneroka di rancangan tanah LTKN telah mengalami perubahan taraf hidup. Terdapat sebanyak 27 rancangan tanah dikendalikan di bawah LKTN di seluruh kelantan. Rancangan tanah ini meliputi memperkasakan pertanian, pembukaan ladang, penternakan dan pembukaan kolam. Projek pembangunan juga boleh di lihat di Mengkebang, Chuchuh Puteri, Sungai Sok dan Sungai Syam di Kuala Krai,  Air Lanas di Jeli, Kemahang 1, Tanah Merah serta Sungai Terah di Gua Musang yang dahulunya dikatakan kawasan miskin yang tidak mempunyai infrastuktur telah berubah menjadi Bandar baru yang dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya, telefon, pasar raya, pejabat pos, bank, klinik, hospital dan pejabat pentadbiran daerah. Dengan kewujudan LKTN ini, kawasan pembangunan yang telibat telah mendapat faedah bersama dengan perolehan hasil dari pembangunan tanah yang dibuat.
Penduduk yang pernah bergelar sebagai peneroka kini sudah jauh berubah. Hutan belantara sudah menjadi perkampungan tersusun. Pokok getah dan kelapa sawit subur telah menjadi punca pendapatan penduduk.  Sebelum kewujudan Lembaga Kemajuan Tanah Negari (LTKN), kawasan berkenaan merupakan hutan belantara. Namun, hasil idea dicetus kerajaan pada masa itu, kawasan hutan sekarang sudah bertukar menjadi kampung dan pekan. Apa yang lebih penting setiap peneroka memiliki geran tanah tanpa perlu membayar hutang kepada agensi kerajaan seperti Felda atau Kesedar. Hal ini juga penduduk tidak perlu risau tentang hutang tanam semula seperti dialami rakan mereka di tanah rancangan milik Kesedar atau Felda.
Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri agak terhad, namun pembangunan tetap berjalan lancar. Kerajaan Negeri Kelantan mampu membina jambatan Sultan Yahya Petra, Stadium Sultan Mohammad Ke- IV dan Rancangan Tali Air Kemubu. Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dimulakan pada 1963 melibatkan perbelanjaan awal sebanyak RM2.86 juta. Selepas siap sepenuhnya pada 1965 jumlah keseluruhan kos meningkat kepada RM6.7 juta. Manakala Stadium Sultan Mohammad Ke IV dibina di kawasan seluas 13 ekar melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta. Rancangan Tali Air Kemubu pula dibina bagi faedah pesawah padi di kawasan seluas 51,000 ekar meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok. Projek itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM45 juta. Begitu juga dengan pembinaan Kota Darulnaim iaitu kompleks yang menggabungkan hotel, rumah, pejabat  dan pasaraya, kompleks Balai Islam di Lundang dan Pasar Siti Khatijah. Pembinaan-pembinaan ini merupakan tanda perubahan yang berlaku oleh Kerajaan negeri di samping sedikit sebanyak sokongan Kerajaan pusat.
Jangkaan perubahan yang akan berlaku ke atas negeri Kelantan pada masa akan datang dilihat akan turut membangunkan pembangunan daerah-daerah Bandar seperti Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang. Pembangunan di daerah-daerah ini di harap mempunyai infrastruktur yang setaraf dengan Bandar Kota bharu seperti mempunyai sistem pengangkutan yang teratur, setiap daerah mempunyai hospital, sekolah di kawasan pendalaman, jalan raya yang lebar, sistem air paip bersih, perkampungan yang tersusun, mempunyai sistem keselamatan seperti balai polis dan bomba dan kemudahan beli belah seperti pasaraya untuk masyarakat. Dengan jangkaan pembangunan ini pada masa akan datang, di harap generasi muda masyarakat Kelantan untuk duduk bersama-sama menyumbangkan kepakaran untuk membangunkan negeri untuk kesejahteraan Negara.